KALENDER DPPKS

Friday, January 7, 2011

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Krisis Pelantikan Jawatan SUK Selangor

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor. Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.

Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.

Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi. Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk UMNO-BN.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011

Tuesday, January 4, 2011

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PAS SABAH :Lantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang baru.

Setinggi-tinggi junjung kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin yang dilantik sebagai Tuan Yang Terutama bagi Negeri Sabah yang ke -10.

Kami Penerangan Parti Islam Semalaysia(PAS) Negeri Sabah mengalu-alukan perlantikan tersebut dan diharapkan dengan perlantikan jawatan tertinggi tersebut rakyat Sabah akan terus membangun serta bangkit dari negeri yang difaktakan termiskin di Malaysia kepada negeri yang terkaya di Malaysia.

Sehubungan dengan itu,diharapkan TYT yang baru akan memberi fokus kepada pembangunan negeri ini sama ada pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan agar Sabah akan terus maju dalam mendepani zaman global ini.

Kami Penerangan PAS Sabah memohon TYT yang baru agar dapat turun padang meninjau dan mendalami masalah penduduk seluruh Sabah terutama di bahagian pendalaman atas yang masih lagi terhimpit dengan masalah kemiskinan dan ketiadaan infrastruktur yang baik.

Akhirnya,kami daripada Parti Islam Semalaysia(PAS)Negeri Sabah mengharapkan Tuan Yang Terutama(TYT)yang baru menjadi tonggak kepada perpaduan dan menyuburkan demokrasi baru di Sabah seterusnya mengangkat SABAH sebagai negeri membangun setaraf dengan negeri-negeri di Malaysia.


Yang benar,

Ybg.Tuan Hisammuddin Hj. Sulaiman
Ketua Penerangan PAS SABAH

Saturday, January 1, 2011

Risalah Tahun Baru 2011

Risalah 1 (a)


Risalah 1 (b)


Risalah 2 (a)


Risalah 2 (b)


Edar Risalah - usaha mengelak azab Allah.

Setiap tahun sudah pasti akan ada sambutan tahun baru di bandar Sandakan. Kali ini ia diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Sandakan atas anjuran Pejabat Parlimen. Nama programnya, Konsert Gempak.

suasana konsert

Kehadiran cukup ramai. Walaupun hujan, ia tidak menghalang penduduk Sandakan untuk ramai-ramai hadir ke majlis maksiat ini. Program yang membenarkan percampuran lelaki dan perempuan itu menampilkan artis dan pelawak sebagai hiburan buat pengunjung.

Selepas detik 12 malam tiba, dentuman bunga api mewarnai langit Sandakan yang sedang ditimpa hujan. Seiring dengan itu juga, hon kereta dan motosikal juga dibunyikan. Tidak ketinggalan juga, adanya anak-anak muda yang berteriak kegembiraan. Turut kelihatan beberapa pasangan kekasih yang berdua-duaan jauh daripada kumpulan orang ramai. Apa yang mereka buat ? Sudah tentu maksiat...!!!

Cukup menyedihkan.....

Di celah-celah kejadian inilah Jentera DPPK Sandakan bersama PAS Kawasan Sandakan turun mengedar risalah penerangan. Kehadiran kali ini atas dasar cintakan saudara seagama lain yang sedang dilamun kesesatan. Islam bukan hanya agama peribadatan. Ia perlu disebar dan wajib bagi kita menegur orang lain yang melakukan maksiat serta mengajak kepada kebenaran.

Semoga usaha yang kecil ini mampu mengelak azab Allah daripada menimpa bumi Sandakan yang dicintai.

munajat sebelum bergerak

edaran bermula

sila ziarah laman ini untuk lebih banyak gambar.

sekian.

Saturday, October 16, 2010

Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah

Tentatif Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS)
[selepas lokasi berpindah ke Sandakan]

8:00 pagi : Pendaftaran
9:00 pagi : Majlis perasmian
1) Ucapan Pesuruhjaya PAS Sabah
2) Ucapan Sdra Mazlan Aliman
3) Ucapan YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
10:00 pagi : Pembentangan kertas kerja 1
Oleh Datuk Koh Hong Ming (PKR)
10:30 pagi : Pembentangan kertas kerja 2
Oleh Sdra Robert (DAP)
11:00 pagi : Pembentangan kertas kerja 3
Oleh Tuan Hj Hamzah Abdullah (PAS)
11:30 pagi : Soal jawab / Resolusi
12:30 tghri : Tayangan Video / Makan tengah hari / Solat Zuhur
1:30 petang : Pidato Perdana
YB Lim Kit Siang
YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
4:30 petang : Pelancaran Deklarasi Tanah Sabah
Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil P185 Batu Sapi Pakatan Rakyat
5:00 petang : Tamat


Program lain sempena HEMPAS


1) Ceramah Umum anjuran DAP
Tarikh : 23 Oktober 2010
Masa : 7.00 malam
Tempat : Hotel Sanbay, Bandar Ramai Ramai, Jalan Batu Sapi
Penceramah : YB Lim Kit Siang
Tuan Hj Hamzah Abdullah

Saturday, September 11, 2010

LAPORAN POLIS TERHADAP KENYATAAN ZAM


Tanggal 6 September, satu laporan polis telah dibuat oleh DPPNS di IPD Sandakan berhubung kenyataan berbaur fitnah Zainuddin Maidin bekas menteri penerangan yang mengatakan pemimpin Pas terlibat mendesak Tunku Abd Rahman agar merampas harta benda orang Cina ketika berlakunya kejadian pergaduhan berdarah antara kaum 1969. Laporan tersebut dibuat memandangkan tuduhan itu berbaur fitnah, membakar api perkauman dan cubaan merosakkan nama baik PAS.

Sunday, September 5, 2010

Iklan Aidil Fitri: Pemuda PAS hantar bantahan ke TV3

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat bantahan ke stesen TV3 dan juga kepada Kementerian Penerangan berkaitan siaran iklan Aidil Fitri yang didakwa mengelirukan.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Bantahan tersebut akan dihantar pada Isnin ini, 6 September 2010.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.

"Ia sangat mengguris perasaan dan sensitiiti ummat Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS katanya menggesa agar TV3 segera membatalkan penyiaran iklan tersebut.

"Kalaupun pihak mereka mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam," katanya lagi.

Selain itu mereka mendesak agar TV3 memohon maaf kepada ummat Islam di atas penyiaran iklan yang bercanggah dengan Syara' dan memberi gambaran yang salah tentang Aidil Fitri sebagai satu hari yang mulia dalam diari ibadah ummat Islam .

Manakala Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula diges memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

"Nampaknya tidak memadai iklan atau filem ditapis oleh pihak Finas jika perkara-perkara yang menjejas nama baik Islam masih terus berleluasa di dalam media elektronik negara kita," katanya.

Sementara itu, iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat uamat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.