KALENDER DPPKS

Saturday, August 31, 2013

UCAP TEMA KP MUKTAMAR 2013



UCAP  TEMA
MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS SANDAKAN
TAHUN 2013

TAJUK

PELIHARA KETULINAN PERJUANGAN, NUSRATULLAH DATANG BERIRINGAN


TARIKH
25 SYAWAL 1434 / 1 SEPTEMBER2013


TEMPAT

PASTI ZAID BIN HARITHAH, TAMAN AIRPORT, SANDAKAN.
  

OLEH
UST. QAMARULLAH WAHBA



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله الذي بعث محمدا صلى الله عليه وسلم بالهدى ودين الحق رحمة للعالمين وقدوة للعاملين وحجة على من أرسله الله إليهم أجمعين وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له إله الأولين والآخرين وأشهد أن محمدا عبده ورسوله المصطفى على العالمين صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين وسلم تسليما كثيرا
أما بعد
Para  sahabat mukmirin Dewan Pemuda Pas  Kawasan Sandakan …

Kita semua telah menyatakan tekad dalam muktamar yang lalu untuk mengembelingkan usaha dan daya untuk membangunkan hidup berjemaah. Kita menyatakan tekad berjuang untuk membantu kemenangan Islam menerusi wadah yang kita sama-sama meladeninya. Kita telah melakukan apa yang kita mampu lakukan dan kita juga telah lalai pada bahagian yang telah pun kita lalai. Apa yang dapat kita laksanakan untuk Jemaah, kita panjatkan syukur. Dengan rahmat Allah juga kita diberikan kekuatan untuk melaksanakannya. Apa yang kita lalai, kita mohon ampun daripada Allah SWT. Semoga Allah tidak mempersoalkan di akahirat kelak apayang tidak dapat kita lakukan sementara kita pun telah menginsafinya.

Marilah kita kembali menginsafi pentingnya hidup berjemaah. Tuntutan hidup berjemaah bukanlah sekadar manis di bibir. Hendaknya kita benar-benar memahami kedudukannya dalam Islam. Jika kita melaksanakan konsep berjemaah dalam pelbagai aspek kehidupan dunia kita, maka terlebih aula untuk kehidupan agama. Kalau kita solat berjemaah, maka kita berjuang untuk agama juga hendaklah secara berjemaah. Para musuh Islam bersepakat dan berkerjasama untuk menjahanamkan Islam. Apakah patut kita secara bersendirian berjuang untuk Islam?

Betapa hebat pun keperibadian kita, beban Islam itu lebih berat. Nabi SAW pun memerlukan para hawari untuk melonjakkan Islam di mata dunia. Maka, apakah kita tidak memerlukan hawari? Membina hawari itulah tuntutan hidup berjemaah.

Jangan hendaknya kalangan kita masih lagi ragu-ragu mengenai betapa perlunya kita kepada hidup berjemaah. Tanpa Jemaah, jadilah kita kambing “qasiah” yang menunggu masa dibaham serigala. Kita mencari hidup berjemaah untuk menyelamatkan diri dan bukannya untuk menunjukkan betapa terbilangnya kita dalam memperjuangkan Jemaah. Jauh sekali untuk merebut pamrih dunia di atas jalan perjuangan.

MALU MENGAKU BERJUANG

Pemuda perjuangan hendaklah sentiasa menyedari betapa kerdilnya sumbangannya kepada kebangkitan Islam. Malah, tanamkanlah dalam diri bahawa diri sendiri belum berjuang. Saya titipkan sebuah sajak buat membujuk hati sahabat sekalian:-

Aku belum berjuang!


Mari sedarkan diri
katakan aku belum berjuang
kalau perjuangan itu sebuah gelanggang
aku di luar masih berlenggang.

mereka telah melakar sejarah
aku cuma menghampar sejadah
mereka telah tumpah darah
aku cuma menggenggam amarah
mereka telah melontar panah
aku cuma menyebar risalah

penjara rumah kedua mereka
rumah pertamaku suka-suka
rumah keduaku pula senda loka

mereka menemui tali gantung
aku masih dikir rambung

Aku cuma bicara hukum
mereka telah pun dihukum

aku bersemangat tegakkan syariat
mereka terkorban menegakan syahadat

aku mimpi kerajaan khilafah
aku hafal manhaj nubuwwah
mereka lesi penat lelah
tidak banyak mada berhelah.

Kalau berdiri di muka gerbang
usah diumpat nista pejuang
jika di medan sebagai hulubalang
baru layak mengajar burung terbang

Mari sedarkan diri
aku bukan pejuang
aku cuma tunggul sebatang
bermimpi dahan pohon rendang.


PERJUANGAN ISLAM MEMERLUKAN NUSRAH ALLAH

Allah menjanjikan bantuannya bagi mereka yang berjuang demi agamanya. Firman Allah SWT:

إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ
Sesungguhnya kami menolong rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).
(Surah Mukmin: Ayat 51)

Perjuangan Islam tidak akan menempa kemenangan jika tiada nusrah Allah. Sepanjang sejarah,   kemenangan pejuang agama Allah sentiasa diwarnai oleh nusrah Allah SWT. Melalui nusrah Allah SWT, pasukan pejuang Islam menang walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan serba kekurangan. 

Tentera Talut yang sedikit dapat mengalahkan tentera Jalut yang lebih ramai berkali ganda. Allah menyebutkan perihal kemenangan tentera Talut tersebut sebagaimana firmanNya:

كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ
Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah
(Surah Al-Baqarah: Ayat 249)

Perkara yang sama terjadi kepada tentera Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW. Dalam perang badar, tentera Islam hanya 314 orang dapat mengalahkan tentera musyrikin yang berjumlah 1000 orang. Dalam perang Khandak, pasukan Ahzab yang berjumlah 10000 orang dikalahkan dengan pertolongan Allah SWT. Kita saksikan kemenangan Islam berlaku dalam situasi kontradiksi jumlah yang tidak berpihak kepada Islam. Ironinya, dalam perang Hunain, apabila tentera Islam lebih ramai daripada tentera kafir, tentera Islam pula dipukul kekalahan.

Mengamati peristiwa kemenangan dan kekalahan Islam dalam sejarah, yakinlah kita bahawa Islam hanya boleh menang dengan nusrah Allah SWT. Justeru, para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menggarap perjuangan agar nusrah Allah SWT tidak menyisih pergi. Para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada aspek menjana nusrah di samping meneliti pembinaan tenaga manusia, kelengkapan serta strategi. Gabungan semua itu hanya akan berhasil menatijahkan kemenangan jika nusrah datang beriringan.

LURUSKAN NIAT PERJUANGAN

Menerjuni perjuangan perlu dipandu niat yang betul. Niat yang menyimpang membawa amal Islami bertukar menjadi amal insani. Ketika menyerahkan diri untuk menjadi soldadu perjuangan, tanyakan diri, apakah tujuannya.

Adakah untuk mendapat ramai kawan?
Nanti, bila berselisih faham dengan kawan, perjuangan akan ditinggalkan.
Apakah untuk mengisi masa yang ketika itu lapang?
Kelak bila sibuk, dengan perjuangan menjadi renggang.
Apakah untuk mengejar habuan dunia?
Bila habuan dunia tiada, perjuangan pun dilupa.

Orang yang ikhlas disebut sebagai mukhlis. Memiliki sifat mukhlis akan membawa kepada digolongkan Allah SWT sebagai kalangan mukhlasin. Hanya orang mukhlas selamat daripada tipudaya syaitan. Untuk mendapat kedudukan mukhlas, dakilah tangga orang mukhlis. Hanya perjuangan yang dikendali oleh orang-orang yang ikhlas sahaja akan mendapat nusrah daripada Allah SWT.

SABAR MENEMPUH MASA YANG PANJANG

Perjuangan Islam akanmenempuh jalan panjang. Begitulah apa yang kita amati dalam sejarah. Dahulu, sebelum Kota Kostantinaple mahu ditawan tentera jihad Islam, beratus tahun rancangan diatur untuk menawannya. Tahun 1453,kota itu jatuh ke tangan khalifah Islam Muhammad Al-Fateh. Kisah gemilang ini hanya bertahan sekitar 471 tahun apabila pemerintahan Islam ranap diinjak sekularisma bikinan Mustapha Kamal Attarturk. Masa panjang mendaki kemenangan dan tempoh singkat menikmati buahnya adalah antara asam garam perjuangan Islam. 

Kepanjangan masa yang perlu ditempuh sebelum meraih kemenangan hendaklah dinilai secara positif. Tujuan meletakkan diri dalam perjuangan Islam bukanlah untuk mendakap titik akhir kemenangan. Kemenangan menewaskan musuh Islam bukanlah kemenangan yang sejati. Bagi pendokong perjuangan Islam, kemenangan yang sejati ialah apabila dia boleh istiqamah di atas perjuangan sehingga dia mati sementara dia kekal dengan perjuangan.

Panjangnya masa sedangkan tidak juga menang hendaklah dilihat sebagai cara Allah memberikan limpah kurnia para pejuang agamanya meraih ganjaran sebanyak mungkin. Oleh itu, kesabaran menempuh jalan perjuangan akan membezakan pejuang sebenar dengan pejuang palsu. Pejuang sebenar akan bertahan, sementara pejuang palsu akan rebah tersungkur.

Para Rasul Allah dan orang beriman yang  terdahulu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran dengan sabar sehingga sampai ke klimaks getir cobaan perjuangan. Allah berfirman:

حَتَّى إِذَا اسْتَيْأَسَ الرُّسُلُ وَظَنُّوا أَنَّهُمْ قَدْ كُذِبُوا جاءَهُمْ نَصْرُنَا فَنُجِّيَ مَن نَّشَاءُ وَلا يُرَدُّ بَأْسُنَا عَنِ القَوْمِ المُجرِمِينَ
Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah meyakini bahwa mereka telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. dan tidak dapat ditolak siksa kami dari pada orang-orang yang berdosa.
(Surah Yusuf: Ayat 110)

Justeru, kita para pemuda tidak perlu merintih kecewa dengan kekalahan dalam PRU13 baru-baru ini. Kita mungkin belum layak dikatakan sudah sampai ke klimaks getir cubaan perjuangan. Kita masih mampu tersenyum dan ketahanan untuk meneruskan perjuangan masih banyak. Biarlah liku-liku perjuangan panjang asalkan kita tetap istiqamah dan anggaplah kita diberi peluang oleh Allah untuk meraih pahala perjuangan  berterusan dengan kekalahan tersebut.

PELIHARA KETULINAN PERJUANGAN

Ketulinan perjuangan hendaklah berdiri di atas manhaj perjuangan yang betul dan terpelihara daripada anasir yang merosakkannya. Semua anggota jamaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulen berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad SAW atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi .

Ketulenan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus perjuangan yang ditinggalkan oleh baginda Rasul SAW dan diperkemas kini oleh ulama al-a'milin al- mujahidin yang memimpin ummah.

Suatu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an-nabawi tetapi juga bersikap negatif terhadap amal tarbawi. Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak Islami.

Demi memburu kemenangan dalam pilihan raya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting namun sekali-kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak Islami dalam percaturan politik.

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka. Justeru itu kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik.

Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkinkan ia dibeli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah Iman dan Islam.

Ketulenan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata-mata dipentas politik pilihan raya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jamaah, bagaimana kita memimpin jamaah dan menangani ahli, bagaimana kita beraksi di medan dakwah, bagaimana kita mendepani musuh, bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya.

Pasti sahaja adab dan akhlak berjamaah seperti syura, dengar dan taat, thiqah, istiqamah, wala', ukhuwwah, ikhlas dan lainnya mewarnai diri, sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang.

Kita adalah "Sebuah Gerakan Islam". Ini satu realiti yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jamaah walau di mana posisinya. Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini, kita tidak boleh mencairkan nilai atau nilai standard bagi sebuah gerakan Islam.

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi, ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara. Jangan kita abaikan ketulenannya semata-mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang.

Menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah. Justeru itu awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini. Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah!Ia menghalau nusrah Allah SWT.

JAGALAH MAIZAH (ميزة(SEORANG AHLI GERAKAN

Maizah adalah ciri istimewa. Para pemuda gerakan Islam perlu mempunyai maizah kerana Rasulullah SAW sering menekankanpentingnya memiliki maizah. Maizahakan membezakan seorang muslim dengan seorang kafir. Dalam keluarga besar Islam, maizah gerakan akan membezakan antara seorang anggota gerakan dengan seorang muslim biasa yang menyisih dari gerakan. 

Seharusnya, seorang anggota gerakan memiliki ciri-ciri tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang yang tidak terlibat dengan gerakan. Seorang pemuda gerakan akan menanggung amanah besar buat ummat ini. Selain tugasnya memperjuangkan Islam untuk diletakkan pada maqam yang tinggi, pemuda gerakan juga mempunyai tanggungjawab mempamirkan sifat seorang muslim sejati yang istimewa.
Saya mencadangkan setiap anggota gerakan ini membina maizah diri dengan mempertingkatkan hal-hal berikut:

1)      Mangamalkan zikir dan wirid ma’thur dari bimbingan sunnah baginda Rasulullah SAW. Dalam hal ini, ahli gerakan sudah lama diajar agar mengamalkan wirid-wirid ma’thurat yang disusun oleh As-Shahid Imam Hasan Al-Banna
2)      Istiqamah menjaga solat lima waktu berjemaah.
3)      Menjadi pendamping Al-Quran dengan selalu membacanya dan mentadabburnya.
4)      Sentiasa bangun solat tahajjud.
5)      Komited dengan agenda tarbiah Jemaah seperti usrah, tamrin, kuliah, jaulah dan sebagainya.
6)      Mudawamah solat subuh berjemaah di masjid.
7)      Menguasai ilmu-ilmu Islam melalui talaqqi, membaca, mendengar ceramah, berdiskusi dan sebagainya
8)      Menjaga kesihatan jasmani untuk berjuang dengan tangkas.
9)      Sentiasa peka dengan perkembangan semasa sama ada dalam Negara atau luar Negara.
10)  Lemah lembut dalam tutur kata dan menjaga akhlak perilaku.
11)  Memperkukuhkan ekonomi diri agar lahir sebagai anggotak gerakan yang mempunyai izzah melalui sumbangan kepada jemaah.
12)  Menjalani gaya hidup orang soleh; berkawan dengan kawan yang soleh, jauhi perbuatan merokok, melepak berbual kosong dan individualistic.

Banyak lagi maizah yang boleh kita tampilkan sebagai seorang anggota gerakan Islam. Apa yang penting, janganlah antara seorang ahli gerakan dilihat sama sahaja dengan yang tidak berada dalam gerakan. Paling malang kalau ahli gerakan Islam dilihat lebih lekeh dan leceh berbanding mereka yang tidak terlibat dalam jemaah dan gerakan. Apakah layak bahtera perjuangan dipacu oleh orang-orang yang lekeh?

PERJUANGAN ISLAM SENTIASA MENANG

Perjuangan untuk memenangi pilihanraya menurut pencak demokrasi kelihatannya tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Gerakan Pas bukan sahaja mengalami kekecewaan di peringkat negara tetapi juga di peringkat entiti kecil melibatkan Parlimen dan Dun. Bagi Dewan Pemuda Pas Sandakan, kekalahan dalam PRU baru-baru ini ketika membantu calon PAS di Batu Sapi adalah sebuah hakikat yang memang diakui. Tidak menang. Itulah ungkapan damai untuk menggambarkannya. Tetapi, lebih tepat lagi untuk menggambarkannya ialah dengan mengatakan Gerakan Pas belum menang. Kemenangan itu akan datang dan itu perlu diyakini seperti meyakini datangnya siang ketika tenggelam dalam kegelapan di malam hari.

Semua warga pemuda perlu memahami bahawa kemenangan dalam perjuangan itu pasti. Allah SWT telah pun menegaskan dalam Al-Quran bahawa para pendekarNya adalah kelompok yang menang. Maka, bagaimana kita mahu menguruskan kekalahan yang disifatkan orang agar menjadi kemenangan dalam keyakinan kita.

 Kerana itu, penglibatan dalam pilihanraya, selama-lamanya hendaklah berada di atas landasan yang betul dan dengan tujuan yang betul. Jika kita terjun ke arena pilihanraya dengan cara dan niat yang betul, kita tidak akan merasa kecewa dengan kakalahan nisbi yang kita alami. Kita sebenarnya menikmati buah kemenangan sejati.

Untuk apa lakukan semua? Untuk apa kita berhempas pulas terjun ke medan semasa PRU. Apakah hanya untuk menangkan calon pilihan kita? Atau apakah untuk memungkinkan parti junjungan kita meraih kuasa pemerintahan. Kalau itu tujuan kita, memang wajar kita kecewa. Namun, kalau tujuan kita lebih daripada itu, untuk mencapai redha Allah, meraih pahala daripadaNYa, berkerja untuk menangkan agamanya, kita akan tetap tersenyum gembira. Kekalahan itu kita tafsirkan sebagai lanjutan sungai pahala buat kita.

PERJUANGAN PINTUNYA SERIBU

Jangan berputus asa dalam mengemudi bahtera perjuangan. Jika satu jalan tertutup ada beribu jalan lagi sedang menanti. Para pejuang agama Allah bukan manusia naif yang kontang idea, tandus cara untuk memenangkan Islam. Nabi Yaakob A.S ketika mengarahkan anak-anaknya masuk ke Mesir, baginda menitipkan pesan sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِنْ بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُتَفَرِّقَةٍ وَمَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَعَلَيْهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُتَوَكِّلُونَ

Dan Ya'qub berkata: "Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian Aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah Aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri".
(Surah Yusuf: Ayat 67)

Pesanan nabi Yaakob buat anak-anaknya ini menggambarkan buat kita jalan perjuangan yang laluan masuknya berbagai-bagai. Dalam kontek gerakan kita sendiri, dalam menjayakan misi, kita mempunyai pelbagai cara. Semua cara itu ada harganya dalam perjuangan. Jika anda mahir dalam perniagaan, gunakan kemahiran itu membantu bangunkan sistem pengukuhan ekonomi gerakan. Jika anda lumayan dengan ilmu, janakan penyebaran ilmu yang digabungjalin dengan kesedaran menyertai gerakan. Jika anda pandai menulis, gunakan tulisan anda. Jika anda punya hubungan yang baik dengan masyarakat, mengapa tidak gunakan kedudukan itu untuk gerakan? Anda boleh menggunakan semua pintu perjuangan yang terbentang di depan anda. 

Kita boleh membahaskan metod kumpulan lain tetapi kita tidak perlu larut dalam membahaskannya. Kerja kita ialah melakukan apa yang kita yakini dan tinggalkan apa yang kita ragui. 

IKHTIBAR PERISTIWA DI MESIR


Tela'ah Sunnatullah Tenangkan Gundah

Kita menelan kegundahan hati ketika mendapat khabar duka tumbangnya kerajaan pimpinan Dr. Mursi daripada Ikhwanul Muslimin di Mesir.Umur kerajaan Mesir pimpinan Mursi masih sangat pendek sebelum datang bencana coup d'état oleh tentera Mesir. Harapan yang sedang berbunga, tiba-tiba layu tidak bermaya. Bukan sedikit manusia seluruh dunia yang menyimpan harapan buat Mursi mengembalikan kegemilangan Mesir yang bersejarah. Namun, nampaknya sesuatu yang hebat jalan berganda-ganda payah.

Namun, memang demikianlah sunnatullah. Perjuangan itu satu sangat payah. Apa yang kita bicarakan di Malaysia ini barangkali sekelumit cuma daripada apa yang telah dipugar dan dikobarkan di Mesir bumi yang bertuah. Korban pewaris semangat nabi Musa dan kebijaksanaan Amru bin Al-Ass di Mesir bukan alang kepalang. Jemari tangan dan kaki sudah tidak mampu menjadi alat pembilang lagi.
Dulu, sebelum nabi Yusuf berkuasa di Mesir, petualang penjajah Romawi menghisap kekayaan Mesir. Qibti bukan apa-apa walau bumi tumpah darah sendiri yang dipijak. Nabi Yusuflah yang dikatakan mengangkat harkat peribumi. Maka, hasil pengorbanan nabi Yusuf, dapatlah bangsa Bani Israel menumpang tuah. Namun, di kala Firaun mengambil kekuasaan, Bani Israel menjadi hamba suruhan.

Allah tumbangkan Firaun. Pelbagai kuasa bertukar ganti di Mesir. Yang datang menjarah dan kemudian pergi atau dipaksa pergi. Berapa tahun pun masa berkuasa, tetap ada hujungnya.

Mubarak sahaja berkuasa sekitar 30 tahun. Pendahulunya juga punya dosa yang serupa. Kezaliman mereka ke atas pemuda-pemuda Ikhwan bukan lagi rahsia. Tetapi, kekuasaan mereka tetap ada akhirnya. Memerintah 30 tahun bukan satu tempoh masa yang panjang buat Mubarak. Memerintah tidak sampai 2 tahun buat Mursi bukanlah satu masa yang panjang buat para fulul yang gelisah itu.
Allamah Iqbal pernah bermadah:

Umur bukan hitungan tahun,
Hidup bukan bilangan masa.
Sehari hidup singa di rimba,
Seribu tahun hitungan domba.
Usah tenggelam dan karam dalam kesedihan. Memang sudah sunnatullah begitu. Allah menciptakan pusingan roda dalam negeri untuk menjadikan tanah subur dalam negeri menumbuhkan bunga mekar yang akan mengharumkan syurgawi. Mungkin kita menderita kerana kehilangan sebuah kerajaan harapan buat ummat. Tetapi, penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang benci melihat fajar Islam bersinar itu adalah lebih parah. Derita kita berbayar pahala sedang derita mereka menambah sengsara.

Setelah tersengguk seketika dalam rasa terpukul, kita kembali sedar dan berserah serta yakin dengan seni takdir Allah SWT. Jangan terpedaya dengan kembalinya berkuasa soldadu syaitan kerana itu hanyalah sebuah "ghurur".

Allah berfirman:

مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ إِلاَّ الَّذِينَ كَفَرُوا فَلا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلادِ

Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Karena itu janganlah kamu terpedaya kerana melihat mereka berulang-lang menjarah di dalam negeri.

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ لِيَأْخُذُوهُ وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ فَأَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ

Sebelum mereka, kaum Nuh dan golongan-golongan yang bersekutu sesudah mereka telah mendustakan (rasul) dan tiap-tiap umat Telah merencanakan makar terhadap Rasul mereka untuk menawannya dan mereka membantah dengan (alasan) yang batil untuk melenyapkan kebenaran dengan yang batil itu. Karena itu Aku azab mereka. Maka betapa (pedihnya) azab-Ku?
(Surah Ghafir: Ayat 4-5)

Menela'ah jatuh bangun soldadu kesyaitanan sepanjang zaman memberikan kita ketenangan. Ia menghilangkan duka nestapa dan mengembalikan semula kita ke persada perjuangan dengan siasat baru dan seni lenggok silat perjuangan yang lebih kekar. Insya Allah, sebelum puas sang algojo menghirup selesa keberhasilannya, akan datang pusingan ke atasnya.


PENUTUP
MOTIVASI BUAT GEROBOLAN ABABIL
Kami gerombolan Ababil
di tangan kami batu dari Sijjil
akan kami gempur Ashabul Fil
hancur Abrahah tegakkan Islam nan adil

Kami bukan banjingan ditunggang
bawalah harta penuh segudang
mata kami tidak nyalang
perjuangan kami tidak menyimpang.

kami berimam kandil agung
Al-Quran Hadis sentiasa disenandung

Kami ikhlas menabur peluh
mengharap pahala akan tumbuh.

Lillahi Ta'ala berlagu zikir
terbenam kemas di dasar dhamir
liriknya meniti menghias bibir
azam teguh tidak mungkir

Kami zuriat putera Habil
Walau berdepan bengisnya Qabil

Kami rela menerjuni Mu'tah
walau musuh banyak jumlah

Sungguh kami dihasut tewas
kami teguh tidak cemas.

Jika hilang satu peluang
kami percaya seribu yang datang
berjuang kami bukan sekangkang
kami menanti bulan mengambang
biar beribu tahun bersilang.

Akan hancur  dedaun jahiliah
dihambur lontaran Sijjil Allah
kamilah Ababil tidak akan menyerah
Menumbang Abrahah merata jalan Fathul Makkah!
Sebelum menutup bicara, marilah kita sama merafakkan doa buat saudara seperjuangan kita di Mesir dan negeri Syria yang bergolak serta wilayah-wilayah Islam yang tertindas.

اللهم أنا نسألك باسمك الأعظم الذي إذا سألت به أعطيت
وإذا دعيت به أجبت وإذا استنصرت به نصرت يا سميع يا قريب
يا واحد يا أحد يا فرد صمد يا حي يا قيوم يا مجيب دعوة المضطر
أن تجعل مصر آمنا مطمئنة مستقرة وجميع بلاد المسلمين
اللهم من أرادها بسوء فاجعل كيده في نحره واجعل تدبيره تدميرا علية
اللهم اجمع كلمتهم على كلمة سواء على الحق والإيمان والتوحيد
اللهم أعز بها الإسلام وانصر بها وبأهلها الدين وجميع بلاد المسلمين
اللهم آمين آمين آمين
اللهم فرج عن إخواننا في سوريا - في فلسطين -
في اليمن - في السودان - في بورما ، في كشمير في الفلبين ، في كل مكان
وجميع بلاد المسلمين ، وجميع المستضعفين في كل مكان
اللهم انصرهم اللهم أعنهم، اللهم اكفهم، اللهم أيدهم، اللهم أغثهم
اللهم احفظهم، اللهم قوهم، اللهم نجهم، اللهم أطعمهم، اللهم تولهم
اللهم أعزهم ، اللهم اهدهم
اجمع كلمتهم على الحق والإيمان والتوحيد
اللهم آمين آمين
اللهـم وفق قادة المسلمين إلى
نصرة كتابك وسنة نبيك
إلى نصرة دينك وتطبيق شرعك
إلى توحــيد الكلمة وجمع الأمة
إلى كل ما يرضيك، وما فيه خير العباد والبلاد
اللهم ألهمهم رشدهم وخذ بنواصيهم للبر والتقوى
اللهم آمين آمين آمين

Sekian….
Takbir!

1 comment:

  1. saya seorang tkw/tki malaysia,,,,,kami sekeluarga tak lupa mengucapkan terima kasih banyak kepada KI DEWO atas nomor togel toto magnum yang Aki berikan 4 angka pada hari minggu 11-12-2016 yaitu (3892) alhamdulillah ternyata itu benar2 tembus KI DEWO dan alhamdulillah sekarang saya bisa melunasi semua utang2 saya yang ada sama tetangga.dan juga di BANK BRI dan bukan hanya itu KY saya akan coba untuk membuka usaha sendiri demi mencukupi kebutuhan keluarga saya sehari-hari itu semua berkat bantuan Aki.. sekali lagi makasih banyak ya KI DEWO… bagi saudara yang suka main togel yang ingin merubah nasib seperti saya silahkan hubungi KI DEWO di no ((( +62852-9527-1555 ))) http://bocoranlive4d5d6dtotomalaysia.blogspot.co.id/ Dan anda bisa seperti saya…menang togel 550 juta, wassalam,.ADA PUN JUGA BANTUAN YANG BISA ANDA DAPATKAN YAITU PESUGIHAN DANA GAIB TANPA TUMBAL/RESIKO
















































































































































































    ReplyDelete