KALENDER DPPKS

Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Monday, June 3, 2013

Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga



Saya membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Khabarnya ini bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara. Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara lain menyatakan bahawa langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya itu sebagai badan bebas tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara telus dan lancar.

Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang. Inilah yang saya tegaskan kepada para wartawan yang bergegas ke rumah saya meminta ulasan di atas pengumuman Perdana Menteri itu. Jika sebelum ini, ada pemimpin UMNO yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden UMNO itu sendiri?

Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen. Jika dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya selaku Ketua Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi kerajaan bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut. Alih-alih apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?

Hari ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya kerajaan mengakui sahaja kesilapan. Isu dakwat kekal yang bertukar menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak bersih memperlihatkan seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas mandat yang tidak betul. Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya benar-benar menguntungkan Barisan Nasional. Benar sangatlah reaksi langsung daripada rakyat di seluruh negara yang bangkit beramai-ramai menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu diingatkan, PAS bukan tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan PAS lebih banyak kalah daripada menang. Namun dalam masa yang sama, PAS tidak boleh menerima penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah, amanah yang diperolehi daripada jalan yang haram hanya menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung di akhirat kelak!

Saya fikir mustahil Barisan Nasional ingin menurut jejak langkah rejim Hosni Mubarak di Mesir yang menang hampir seratus peratus di dalam pilihanraya tetapi akhirnya kecundang di jalan raya.

Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak, perbetulkan kembali sistem pilihanraya. Sayangnya, UMNO lambat sedar. Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai mempersoalkan kredibiliti SPR, ada pemimpin UMNO masih bermain madah pujangga menegakkan benang yang basah. Jika umpama orang yang tidur, UMNO hanya terjaga ketika matahari tegak di atas kepala!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

23 Rajab 1434H bersamaan 2 Jun 2013M
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

Friday, January 7, 2011

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : Krisis Pelantikan Jawatan SUK Selangor

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor. Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.

Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.

Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi. Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk UMNO-BN.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011

Tuesday, January 4, 2011

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PAS SABAH :Lantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang baru.

Setinggi-tinggi junjung kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin yang dilantik sebagai Tuan Yang Terutama bagi Negeri Sabah yang ke -10.

Kami Penerangan Parti Islam Semalaysia(PAS) Negeri Sabah mengalu-alukan perlantikan tersebut dan diharapkan dengan perlantikan jawatan tertinggi tersebut rakyat Sabah akan terus membangun serta bangkit dari negeri yang difaktakan termiskin di Malaysia kepada negeri yang terkaya di Malaysia.

Sehubungan dengan itu,diharapkan TYT yang baru akan memberi fokus kepada pembangunan negeri ini sama ada pembangunan fizikal dan pembangunan modal insan agar Sabah akan terus maju dalam mendepani zaman global ini.

Kami Penerangan PAS Sabah memohon TYT yang baru agar dapat turun padang meninjau dan mendalami masalah penduduk seluruh Sabah terutama di bahagian pendalaman atas yang masih lagi terhimpit dengan masalah kemiskinan dan ketiadaan infrastruktur yang baik.

Akhirnya,kami daripada Parti Islam Semalaysia(PAS)Negeri Sabah mengharapkan Tuan Yang Terutama(TYT)yang baru menjadi tonggak kepada perpaduan dan menyuburkan demokrasi baru di Sabah seterusnya mengangkat SABAH sebagai negeri membangun setaraf dengan negeri-negeri di Malaysia.


Yang benar,

Ybg.Tuan Hisammuddin Hj. Sulaiman
Ketua Penerangan PAS SABAH