skip to main |
skip to sidebar
Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga
Saya membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan
pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan
untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan
dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Khabarnya ini
bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana
pilihan raya negara. Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara
lain menyatakan bahawa langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya
itu sebagai badan bebas tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan
keyakinan rakyat terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara
telus dan lancar.
Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah
sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang
dikendalikan oleh SPR sangat pincang. Inilah yang saya tegaskan kepada
para wartawan yang bergegas ke rumah saya meminta ulasan di atas
pengumuman Perdana Menteri itu. Jika sebelum ini, ada pemimpin UMNO yang
mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan
pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya
ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden UMNO itu sendiri?
Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat
marhaen. Jika dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya
selaku Ketua Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi
kerajaan bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut. Alih-alih
apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun
Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan
kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?
Hari
ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya
kerajaan mengakui sahaja kesilapan. Isu dakwat kekal yang bertukar
menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak bersih memperlihatkan
seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas mandat yang tidak betul.
Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya
benar-benar menguntungkan Barisan Nasional. Benar sangatlah reaksi
langsung daripada rakyat di seluruh negara yang bangkit beramai-ramai
menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu diingatkan, PAS bukan
tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan PAS lebih banyak kalah
daripada menang. Namun dalam masa yang sama, PAS tidak boleh menerima
penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah, amanah yang diperolehi daripada
jalan yang haram hanya menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung
di akhirat kelak!
Saya fikir mustahil Barisan Nasional ingin
menurut jejak langkah rejim Hosni Mubarak di Mesir yang menang hampir
seratus peratus di dalam pilihanraya tetapi akhirnya kecundang di jalan
raya.
Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak,
perbetulkan kembali sistem pilihanraya. Sayangnya, UMNO lambat sedar.
Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai mempersoalkan kredibiliti SPR,
ada pemimpin UMNO masih bermain madah pujangga menegakkan benang yang
basah. Jika umpama orang yang tidur, UMNO hanya terjaga ketika matahari
tegak di atas kepala!
Salam hormat,
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
23 Rajab 1434H bersamaan 2 Jun 2013M
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.
No comments:
Post a Comment