السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala puji itu hanya bagi Allah SWT, Tuhan penguasa
sekelian alam. Dialah pemilik kerajaan langit dan bumi. Dialah pemilik setiap
episod zaman. Dialah penentu segala takdir dan Dialah pemberi hidayah buat
sesiapa yang dikehendakinya. Tidak ada satu kebaikan melainkan yang disifatkan
baik olehNya. Semua yang dinyatakan sebagai buruk, maka buruklah ia walau
seluruh manusia mengatakan baik. Hanya Dialah tempat kita berserah dan Dialah
juga tujuan hidup dan lengkaran perjuangan kita.
Sesungguhnya, kita amat bersyukur kerana dengan kekayaan
dan rahmat Allah, dunia tidak pernah ketandusan orang-orang yang berjuang membela
jalanNya. Allah sentiasa memberi buah fikiran dan jalan buat para pejuangnya
untuk membantunya meninggikan kedudukan gama Allah di muka dunia. Jika lahir
para pemuda yang menyerahkan jiwanya menjadi soldadu syaitan, maka lahir juga
para pemuda yang mewaqafkan jiwanya menjadi Jundullah. Dua jalan
terbentang dan siapa yang benar pilihannya, keberuntungan menanti di hari muka.
Salah menentukan pilihan, hanya menawar manis seketika tetapi derita kelak
datang bertimpa-timpa.
Pendidikan merupakan agenda penting dalam hidup.
Rasulullah SAW sangat memperingatkan ibu bapa agar mengambil berat soal
pendidikan. Jika anak dibesarkan tanpa dicanai dengan pendidikan yang baik, bukan
sahaja anak itu menjadi rosak, ibu bapa juga akan teresak-esak kelak menanggung sesal. Sesal di belakang hari,
dalam dunia dan sesudah mati. Atas kesedaran itulah, Dewan Pemuda Pas sebagai
sebuah cabang keluaga besar Harakah Islam diberikan amanah menjana pendidikan
seawal usia kana-kanak . Untuk itu, PASTI telah ditubuhkan sebagai sebuah
entiti pendidikan pra-sekolah untuk memberi pilihan kepada ibu bapa mendidik
anak-anak mereka pada takah-takah yang disarankan Rasulullah SAW. Inilah kerja
yang digerakan semata-mata demi kepentingan ummat agar lahir generasi bertakwa
dan jauh sekali daripada hasrat mengaut keuntungan.
Para pemerhati perkembangan PASTI akan pasti bahawa
penggerak PASTI adalah para pemuda pemudi yang ikhlas dan tidak mengaut loba
dan pamrih. Dalam dunia yang serba berbayar, Dewan Pemuda Pas dapat
berbangga dengan segunung syukur atas kesediaan jundinya menawar khidmat
tanpa bayaran. Mereka inilah kelibat-kelibat terlindung yang berjiwa kental dan
insya Allah menjadi bunga harum syurgawi dalam dunia dan akhirat.
Akhir sekali, sekalung tahniah buat ibu bapa yang memilih
PASTI untuk menjadi medan pendidikan anak-anak. Tetapkan niat anda untuk
melihat anak lahir sebagai insan bertakwa kepada Allah SWT. Insya Allah,
manisnya buah mengikut benih yang ditanam dan semaian yang menjadi pilihan.
Pasukan yang ikhlas pula akan menambahkan berkat dalam mencanai generasi.
Hari ini Sukaneka PASTI kali yang ke-24 kita raikan.
Jadikan ia medan ukhwah kelaurga PASTI, saling sokong menyokonglah untuk
menjayakan hasrat murni, segala kekurangan kita cari jalan penambahbaikan,
berlapang dada menambah bahagia dan cintailah orang-orang yang berjuang demi
agama Allah. Semoga Allah mencintai kita sebagai gantinya.
اللهم اثبنا وارحمنا برحمتك يا ارحم الراحمين
Sekian Wassalam
UST QAMARULLAH WAHBA
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan
Sessi 2011-2013
No comments:
Post a Comment