KALENDER DPPKS

Friday, April 20, 2012

UCAP TEMA MUKTAMAR DPPKS 2012


UCAP  TEMA
MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS SANDAKAN
TAHUN 2012

TAJUK

ISTIQAMAH  JALAN MENUJU KEMENANGAN


TARIKH
7 JAMADIL AWAL 1433 / 30 MAC 2012


TEMPAT

PASTI ZAID BIN HARITHAH, TAMAN AIRPORT, SANDAKAN.
  

OLEH
UST. QAMARULLAH WAHBA


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله الذي بعث محمدا صلى الله عليه وسلم بالهدى ودين الحق رحمة للعالمين وقدوة للعاملين وحجة على من أرسله الله إليهم أجمعين وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له إله الأولين والآخرين وأشهد أن محمدا عبده ورسوله المصطفى على العالمين صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين وسلم تسليما كثيرا
أما بعد

Para  sahabat mukmirin Dewan Pemuda Pas  Kawasan Sandakan …

Pada hari ini, setelah cukup haul kita berada dalam Dewan Pemuda Pas Kawasan Sandakan sebagai satu pasukan, sekali lagi kita bermuktamar. Pada hari ini, kita bertemu untuk menilai dan memuhasabah kembali segala gerakerja yang telah kita laksanakan selama setahun setelah muktamar yang lalu. Semoga pertemuan kita pada hari ini adalah petemuan pemuda-pemuda beriman yang menjadikan Allah sebagai sebab. Mudah-mudahan juga dengan sebab itu, kita tergolong dalam salah satu golongan yang diberi perlindungan oleh Allah pada hari mahsyar yang hanya ada teduhan arasy Allah SWT.


Sebagai satu sayap penting perjuangan PAS di Sandakan, di samping juga batu bata jamaah Islam PAS di Malaysia, kita hendaklah sentiasa membuat semakan dan muhasabah. Di saat kita salah, tentu ada jalan kembali. Di saat kita lemah, tentu ada jalan bangkit semula. Namun, meninggalkan Jamaah hendaklah kita sisihkan jauh-jauh daripada lintasan fikiran kita.

Biarlah setiap daripada kita sentiasa membisikkan dalam hatinya, jika ditakdirkan tiada lagi pendekar dalam perjuangan Islam ini, biarlah aku menjadi pendekar terakhir yang berdiri menghadapi lawan.  Kememangan untuk Islam pasti datang. Lambatnya kemenangan bukan untuk dikeluhkan tetapi hendaklah disyukuri. Sesungguhnya ujian berjuang itu tidak lebih hebat daripada ujian menangani kemenangan

Sebab itu, dalam muktamar pada kali ini, saya ingin sekali menekankan kembali asas kepada perjuangan Islam di semua tempat dan semua masa. Itulah Istiqamah. Kita tidak mengaharapkan kehebatan tempikan yang bergema seluruh alam tetapi kemudian menjadi rintihan halus dalam kelambu. Kita tidak mahu bangkit dengan semangat waja di awal pagi tetapi kendur lesu di pertengahan hari. Kita memerlukan satu kalimah berat yang pahit untuk ditanggung iaitu Istiqamah.

Sahabat Muktamirin Sekalian!

Setelah kita melalui liku-liku kebersamaan dalam jemaah, sungguh fahamlah kita bahawa alangkah peritnya satu kalimah yang disebutkan istiqamah. Banyak bunga yang kembang di awal pagi lalu layu menjelang tengahari. Berapa banyak pula bahtera yang belayar, malah yang sarat dengan muatan, tidak sampai ke pelabuhan. Ia sangat merugikan, bukan sahaja buat jamaah dan perjuangan tetapi lebih-lebih lagi buat para pejuang itu sendiri.

Buat kita para pemuda PAS yang sudah menggabungkan diri dengan perjuangan ini, jangan ada keraguan lagi. Aturkan langkah ini dengan penuh yakin. Jangan diragukan oleh pelbagai bisikan. Kita bukan mengasaskan Jama’ah tetapi meniti di atas laluan yang telah dirintis oleh pendahulu kita yang telah berjuang dengan penuh keyakinan.

Mereka adalah para mujtahid siasah yang bukan kepalang.  Mereka berkata:  kami orang-orang PAS yang bertekad merubah Negara Malaysia agar menjadi Negara yang diredhai Allah. Kita hendaklah berkata hal yang sama. Biar kata-kata ini seteguh ikrar kita bertuhankan Allah SWT sebagaimana  firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ المَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" Kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang Telah dijanjikan Allah kepadamu".

Surah Fussilat: Ayat 30

Dalam Hadis Muslim dan turut diriwayatkan oleh An-Nasai  bahawa Sufyan bin Abdillah As-Tsaqafi telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

يا رسول الله ، قل لي في الإسلام قولا لا أسأل عنه أحدا بعدك . قال : " قل آمنت بالله ، ثم استقم "


“Ya Rasulullah, katakan buatku (satu nasihat)n yang aku tidak perlu minta daripada siapapun lagi selainmu! Maka sabda Rasulullah SAW: Katakan olehmu “aku beriman dengan Allah, kemudian hendaklah kamu istiqamah dengan kata-katamu itu”.
KESEMPURNAAN ISTIQAMAH

Perkataan Istiqamah banyak disebutkan dalam Al-Quran. Ia tidak akan sempurna melainkan ada empat perkara:

a) Mengatahui jalan perjuangan berdasarkan ilmu yang berpaksikan dalil-dalil syar’i.

b)         Beramal dengannya  dengan melazimi praktikalnya zahir dan batin.


c) Menyeru orang lain kepadanya serta bertausiah agar berpegang dengannya serta mempertahankan daripada aspek-aspek yang melemahkannya.

d) Tetap hati di atasnya dengan sabar yang berterusan, mempertahankan sehingga mati tanpa menambah dan mengurangkan.

ISTIQAMAH PARA PEJUANG ISLAM

Para pejuang agama Allah sepanjang zaman menanggung liku-liku yang sangat pelbagai. Di kalangan mereka ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang tewas. Mereka yang berjaya itu adalah kerana sifat istiqamah yang tertanam dalam hati mereka.

Disebutkan dalam sebuah hadis daripada Khabab bin Al-Irt , beliau telah berkata:

شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة ، فقلنا : ألا تستنصر لنا ، ألا تدعو لنا ؟ فقال : ( قد كان من قبلكم ، يؤخذ الرجل فيحفر له في الأرض ، فيجعل فيها ، فيجاء بالمنشار فيوضع على رأسه فيجعل نصفين ، ويمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه وعظمه ، فما يصده ذلك عن دينه ، والله ليتمن هذا الأمر ، حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضرموت ، لا يخاف إلا الله ، والذئب على غنمه ، ولكنكم تستعجلون

Kami telah mengadu kepada Rasulullah Saw pada satu hari, sedang pada ketika itu baginda sedang berbaring dengan berbantalkan burdahnya di bawah baying-bayang Ka’bah. Kamu berkata: Ya Rasulullah, kenapa tidak tuan minta tolong kepada Allah untuk kita (agar kita menang). Kenapa tuan tidak berdoa (untuk kemenangan kita)? Maka baginda pun bersabda: Sesungguhnya ummat terdahulu sebelum kamu, di kalangan mereka ada seorang lelaki, digali lubang dalam tanah untuk mereka, lalu dia ditanam di dalamnya, dibawakan gergaji dan digergaji kepalanya lalu terbelah dua badannya. Ada juga yang disikat dengan penyikat besi tubuh mereka sehingga bercerai daging dari tulangnya. Siksaan sedemikian tidak memisahkannya dari agamanya. Demi Allah, urusan ini (perjuangan Islam) akan disempurnakan Allah SWT sehingga seorang penunggang dari San’a ke Hadramaut tidak perlu takut apa-apa kecuali Allah SWT dan  serigala yang memakan kambingnya. Tetapi…kamu kaum yang tidak sabar (untuk menenang).
(Hadis Riwayat Bukhari)

Sungguh hebat ketahanan dan istiqamah para pejuang agama di zaman dahulu. Sanggupkah kita meneladani istiqamahnya mereka? Mereka telah menghadapi goncangan jiwa yang amat hebat sehingga habislah usaha dan ikhtiyar. Hanya yang ada keluhan…bila lagi pertolongan Allah?

Perjuangan kita dewasa ini tidak sampai ke tahap itu. Kita masih banyak usaha dan strategi. Siksaan dan derita yang kita hadapi tidak seteruk mereka. Kita belum layak untuk mengeluh dengan keluhan pasrah “bila lagi pertolongan Allah”. Tetapi, sudah ramai kalangan pejuang yang telah hilang istiqamah.  Kita bimbang dan berdoa agar kita bukan kalangan yang akan hilang istiqamah.

ISTIQAMAH DALAM JEMAAH LEBIH BAIK

Seperti solat, berjemaah di masjid lebih baik daripada solat sendirian di rumah,  demikian pula, jika solat berjemaah dengan orang ramai di masjid, ia lebih baik daripada bersolat jemaah dengan anak isteri di rumah. Kalau demikian halnya dengan solat, maka apatah lagi dalam memperjuangkan Islam. Memperjuangkan Islam secara berjemaah tentu lebih baik daripada memperjuangkannya secara sendirian. Gandaan pahalanya adalah berlipat. Betapapun hebat anda dalam penampilan syaksiah Islam, jika anda bekerja untuk Islam secara bersendirian, anda akan rugi dari segi pahala yang diraih. Malah, banyak kerugian lain lagi. Justeru, marilah kita merancang dan melakukan gerakerja memenangkan Islam dalam jemaah. Apabila kita sebutkan merancang dan melakukan gerakerja memenangkan Islam, dalam konteks negara kita Malaysia, PAS-lah jemaah yang melengkapi ciri-ciri jemaah yang memburu kemenangan Islam kerana kemenangan Islam tidak dapat dipisahkan daripada meraihkan kekuasaan pemerintahan di muka bumi.

Para pejuang yang istiqamah dalam Jama’ahlah yang akan menang. Rasulullah SAW telah menegaskan dalam sepotong hadis:

لَنْ يَزَالَ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى النَّاسِ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ

“Akan sentiasa satu kaum dari ummatku menjadi pihak yang menang di atas manusia sehinggalah datang ketentuan Allah dan mereka sentiasa dalam keadaan menang”.
(Hadis Riwayat Bukhari: 3640)

ISTIQAMAH DENGAN JEMAAH YANG BENAR

Persoalan yang penting juga adalah menetapkan pilihan dalam jamaah mana kita hendak perjuangkan Islam.  Pada hari ini ada pelbagai  kumpulan yang menisbatkan diri mereka sebagai jamaah. Ada yang yang bersifat juz’I dan eksklusif. Ada yang bersifat aliran dan manhaj. Jama’ah Islam hendaklah bersifat kulli dan boleh disertai oleh semua orang yang punya kecenderungan memperjuangkan Islam. Ia juga buka memilih aliran di antara pelbagai aliran. Manhaj jamaah Islam adalah manhaj nubuwwah. 

Ada kumpulan yang dipandu oleh semangat kemelampauan sehingga musuh Islam menggelarkan mereka sebagai ekstremis. Kita juga berdepan dengan  kumpulan tariqat dan separa tariqat yang membuang kehidupan berpolitik dari kamus perjuangan mereka. Ada pula kumpulan yang menghabiskan masa dan tenaga memperjuangkan aliran lebih daripada memperjuangkan ketinggian Islam. Semua ini menuntut kita cermat menentukan pilihan. Seseorang yang terjun ke dalam satu arus akan hanyut dibawa arus. Setelah sampai di kuala dan arus pun telah perlahan, apalah ertinya lagi berenang ke tepian.  Perjuangan, biar bermula di ulu dan dari ulu itu aliran yang haq perlu dibentuk.

Kita hendaklah meyakini dengan perjuangan PAS kerana ia adalah satu jemaah yang melengkapi harapan harapan ummat. Sungguh pun kita tidak menolak ada kekurangan disebabkan longlainya pegangan dan disiplin segelintir pendokongnya, ia masih lebih sempurna dari segi dasarnya berbanding ta’ifah-ta’ifah lainnya.

Sabda Rasulullah SAW:

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وإنه لا نبي بعدي وستكون خلفاء تكثر قالوا فما تأمرنا قال فوا ببيعة الأول فالأول وأعطوهم حقهم فإن الله سائلهم عما استرعاهم

"Dahulu urusan politik (siasah) Bani Israel diurus oleh para nabi. Bila wafat seorang nabi diganti dengan nabi yang lain, sesungguhnya tidak ada lagi nabi sesudahku, akan tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya banyak." Para sahabat bertanya,’Apa yang engkau perintahkan kepada kami? Rasulullah menjawab,’Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu saja. Penuhilah hak-hak mereka. Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap apa yang menjadi kewajiban mereka." [HR. Muslim].

Dalam Dunia, setelah tumbangnya zaman kekhalifahan Islam sekitar tahun 1924M, jemaah yang menceburi politik pertama bangkit adalah Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam As-Syahid Hasan Al-Banna.  Dari Mesir Negara kelahirannya, Jama’ah tersebut berkembang ke seluruh dunia. Di Malaysia, PAS-lah yang menjulang panjinya. Maka PAS adalah jama’ah yang pertama. Buat Pas kita serahkan bai’ah kita.

ISTIQAMAH DENGAN TARBIAH

Perjuangan dalam Gerakan  Islam tidak sama dengan perjuangan dalam organisasi biasa. Ini kerana dalam Gerakan Islam, perjuangan hendaklah didorong oleh keikhlasan limardhatilah. Masuk dalam perjuangan Jama’ah bukan dengan tujuan tersebut akan menyebabkan tujuan-tujuan lain mula bersimpangsiur. Dalam Ijtimak Tarbawi pada tahun yang lalu yang diadakan di Kundasang. Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Pusat mengingatkan tentang kepelbagaian maksud orang menyertai Pas. Menurutnya, ada yang menyertai PAS kerana faktor ketokohan individu, tradisi keluarga, habuan ghanimah dan pangkat, kebencian kepada musuh dan sebagainya. Semua tujuan tersebut menjadikan penggabungan ahli PAS itu dengan PAS tidak utuh dan pada bila-bila masa akan rebah dengan cobaan. Hanya tujuan mardhatillah yang boleh diklasifikasikan sebagai ikhlas dan hanya yang ikhlas sahaja akan mendapat ganjaran pahala dan jika mati dalam perjuangan, matinya adalah syahid.

Untuk membetulkan objektif perjuangan inilah maka unsur tarbiah sangat berperanan. Dalam PAS ada amal tarbiah yang perlu dilazimi oleh anggota agar ia membentuk kekuatan dan jatidiri pejuang agama Allah. Program-program seperti Usrah, Tamrin, Kuliah-kuliah Harakiah, Ijtimak Tarbawi dan bermacam-macam lagi adalah usaha rasmi jama’ah untuk memperkasa tarbiah ahli. Selain itu program-program lain yang melibatkan program PASTI, safar bersama, mesyuarat dan sebagainya merupakan mekanisma tidak rasmi Jama’ah melestarikan tarbiah anggota Jemaah. Anggota Jamaah hendaklah menghirup semua penawar tarbiah ini agar ia menjadi ramuan yang memperkuatkan tarbiah diri.

Semua peringkat kepimpinan daripada pusat sampai kepada cawangan, daripada ahli biasa sampai kepada pimpinan tertinggi dalam parti mesti meletakkan bahawa tarbiah adalah tunjang kepada gerakan PAS. Proses tarbiah tidak akan berakhir apabila sudah menang atau sudah menjadi pimpinan tertinggi. Sebaliknya usaha ini berterusan tanpa terhenti. Seperti mana juga menuntut ilmu daripada buaian sampai kepada liang lahad. Jika ada tanggapan bahawa tarbiah hanya untuk orang bawah sahaja, sedangkan pimpinan tertinggi tidak perlu maka  adalah tanggapan yang silap dan songsang.

Amal tarbawi ini perlu ditegakkan dalam diri dengan istiqamah, barulah hasilnya berbuah.

ISTIQAMAH MEMBINA KEKUATAN KEROHANIAN

Perjuangan menegakkan Islam tidak harus dipisahkan daripada amalan yang memperkuatkan kerohanian. Perjuangan yang tidak parallel dengan pembangunan kerohanian pada akhirnya akan layu dan menghadapi masa-masa lemah. Jika rohani kuat, semangat juang tinggi. Orang yang kuat rohaninya tidak akan merasa lemah atau hina dalam memperjuangkan agama Allah. Malah, kerohanian yang mantap juga merupakan syarat nusrah Allah yang merupakan penentu kemenangan bagi perjuangan Islam. Tanpa rohani yang mantap, jadilah perjuangan kita pada tara yang sama dengan perjuangan lain.

Kerana itu, kita memerlukan amalan yang membina kerohanian. Asas kepada amalan kerohanian Islam adalah petunjuk dari Rasulullah SAW.

Para pejuang Islam hendaklah dibiasakan dengan wirid yang warad. Zikir yang ma’thur. Akrab dengan Al-Quran. Bersenjatakan doa. Sering bertaubat dan banyak amal sunat.

ISTIQAMAH DENGAN MUJTAMAK ISLAM.

Ibn Khaldum dalam Muqaddiamahnya menyebutkan:

الإنسان مدني بالطبع

Manusia itu makhluk bermasyarakat dari segi tabiat”.

Islam sama sekali tidak mengajak penganutnya menjadi pendeta yang menyisih diri daripada masyarakat. Islam tidak mengangkat mulia kehidupan laksana rahib atau sang petapa. Islam juga tidak memisahkan mana-mana juzuk kehidupan daripada Islam. Sebab itu, jalan hidup sesetengah pihak yang memisahkan juzuk politik daripada Islam tidak boleh kita terima. Politik merupakan unsur madani yang sangat utama dalam kehidupan manusia. Jika seorang berkata: aku tidak mencampuri hal politik!, nyatalah bahawa dia tidak mengambil Islam para nabi. Islamnya adalah Islam para Rabi. Ada pemimpin UMNO yang menolakkan keulamaan TG Nik Aziz Nik Mat hanya kerana dia disifatkan ulama politik. Pada mereka, yang nama ulama itu tidak harus berpolitik.  Maka kalau tidak berpolitik, bagaimana dikatakan manusia itu makhluk bermasyarakat?

Pemuda perjuangan hendaklah “madani”. Manifestasi madani kita adalah keterlibatan dalam aktiviti kemasyarakatan. Sangat banyak aktiviti kemsyarakatan. Ada yang syar’I dan ada yang tidak. Namun yang paling syar’i dan mulia di antara semuanya adalah mendirikan solat berjama’ah di masjid. Melalui solat berjemaah, kita dapat melaksanakan tabiat madani kita dengan cara yang baik.

Pemuda perjuangan tidak harus liat daripada melaksanakan solat berjemaah di masjid kerana melaluinya masyarakat akan tertarik kepadanya dan menjadikannya tauladan. Ia akan membentuk penampilan yang kuat buatnya di tengah masyarakat. Penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan ini hendaklah dilaksanakan dengan istiqamah agar natijahnya benar-benar dapat dilihat kelak.

ISTIQAMAH DALAM MEMBUDAYAKAN INFAQ BUAT JEMAAH

Harta yang dikurniakan Allah kepada kita hanya pinjaman. Perkara ini diharapkan dapat difahami dengan sesungguhnya. Malah, ia perlu difahami dan dihayati dengan sepenuhnya termasuk dalam basirah yang dalam. Apabila kita sudah  faham makna pinjaman harta yang dikurniakan Allah kepada kita, kita tidak akan bercakap sebagaimana Qarun berkata tatkala diminta zakatkan hartanya oleh nabi Musa.  Kata Qarun sebagaimana dirakamkan dalam Al-Quran:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِندِي

“Berkata Qarun, sesungguhnya aku dikurniakan harta yang banyak ini adalah hasil daripada pengetahuanku”
(Surah Al-Qasas: Ayat 78)


Maka, untuk mengelakkan kita menjadi pengikut Qarun di akhirat, kita hendaklah membudayakan infaq untuk perjuangan Islam secara istiqamah.  Perjuangan Islam di mana-mana zaman pun memerlukan infaq daripada para pendokongnya. Infaq yang dilakukan saat Islam masih lemah lebih baik daripada infaq pada saat Islam telah menang.  Allah berfirman:


وَمَا لَكُمْ أَلَّا تُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ لا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُوْلَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ


Dan Mengapa kamu tidak menafkahkan (sebagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allah-lah yang mempusakai (mempunyai) langit dan bumi? tidak sama di antara kamu orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). mereka lebih tingi derajatnya daripada orang-orang yang menafkahkan (hartanya) dan berperang sesudah itu. Allah menjanjikan kepada masing-masing mereka (balasan) yang lebih baik. dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Hadid: Ayat 10)


Kita amat berkeyakinan bahawa Allah amat adil dan membalas seseorang sesuai dengan kebakhilannya. Saksikanlah bagaimana makar Allah. Kekadang tidak dirasai sebagai makar Allah SWT. Seorang yang kikir untuk menginfaqkan hartanya kepada perjuangan, Allah akan tarik hartanya dari pelbagai cara yang tidak disedarinya. Kereta rosak, anak sakit, hartanya dicuri, rugi dalam perniagaan dan sebagainya. Dari jalan keluar harta yang berpahala, akhirnya hartanya keluar sia-sia. Rugi di dunia dan akhirat terlebihlah rugi.


Sebab itu, marilah kita dengan penuh kesedaran menginfaqkan sebahagian harta kita untuk perjuangan jemaah. Ia membersihkan kekotoran pada harta kita dan ia merupakan simpanan yang sejati yang akan kita keluarkan pada hari akhirat kelak. Seterusnya, marilah kita istiqamah di dalam membudayakan infaq ini.

ISTIQAMAH MENGIKUT PERKEMBANGAN SEMASA

Sebagai pejuang agama Allah, kita tidak harus jadi orang yang tidak tahu perkembangan semasa. Tidak wajar sama sekali apabila seorang yang mahu membela agama Allah, kala ditanya apa perkembangan sesuatu peristiwa penting terkini, dijawabnya “tidak tahu”.  Itu menunjukkan dia tidak mengikut perkembangan semasa. Kepedulian yang tinggi terhadap perkembangan semasa adalah ramuan penting dalam membentuk sikap seseorang. Ia juga adalah energy penting buat menggerakkan rancangan dan strategi seterusnya.

Pada masa kini sumber pengetahuan semasa terbentang luas. Kita hanya perlu membudayakan “ iqra’ ”. Pada zaman teknologi maklumat ini, kepantasan maklumat semakin menggila. Namun, kita hendaklah memastikan maklumat semasa yang sampai kepada kita adalah benar sebelum kita imani. Perkembangan semasa yang kita lazimi hendaklah disertai dengan amalan tabayyun iaitu mengenal pasti  kebenaran berita. Inilah agar kita tidak terperangkap dengan mainan berita pengamal media yang fasiq.

ISTIQAMAH DENGAN WILAYAH JAMAAH
Pemuda perjuangan janganlah terpesona dengan pendapat individu. Sekalipun ia hebat dan meremangkan bulu roma, pendapat individu tidak akan pernah dapat mengalahkan pendapat Jama’ah. Pendapat Jamaah adalah betul dan pendapat individu adalah salah. Inilah dasar berpendapat dalam Jamaah. Sebab itu ketaatan kepada pemimpin hendaklah sentiasa dipegang. Pemimpin membawa pandangan Jamaah.
Orang yang lari meninggalkan Jama’ah kerana tidak setuju dengan perubahan dalam Jamaah adalah mereka yang tersasar. Dakwaan orang yang mempertikaikan perubahan nama “daulah Islam” kepada “Negara Bekebajikan”, “tahalluf siyasi” dan lain-lain perubahan dalam Jama’ah adalah tidak memahami dasar berpendapat dalam Jamaah. Sesuatu yang diputuskan secara syura hendaklah diperjuangkan.
Pemuda perjuangan hendaklah berpaut erat dengan wilayah kepimpinan dalam Jamaah Islam. Anda tidak akan menemui wali yang lebih baik di luar Jama’ah Islam. Dalam NGO, kumpulan Tariqat, parti-parti dan lain-lain kumpulan, anda tidak akan menemui wali dapat membawa kita kepada wilayah Islam. Jama’ah Islam sejati sifatnya membangunkan wilayah Islam. Ia tidak terpisah daripada kerja meraih imamah di muka bumi.
KHATIMAH
Akhir sekali, marilah sempena muktamar kali ini, kembali membulatkan istiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja untuk Islam melalui Jamaah Pas dalam Dewan Pemuda Pas Kawasan Sandakan. Sementelahan, pilihanraya juga sudah kian dekat. Penglibatan dalam pilihanraya adalah arahan Jamaah dan ia adalah jihad menegakkan agama Islam. Istiqamah akan menghalau pergi rasa berat dan takut kerana bebanan dunia yang kita tanggung. Yakinlah bahawa Allah pemberi razeki dan Dialah yang menentukan sumber razeki kita.
Istiqamahlah dengan Jamaah...ialah baja buat jemaah.
Istiqamahlah dengan Jamaah...ialah penawar buat diri kita.
Istiqamahlah dengan Jamaah...Ialah pagar dan kota buat keselamatan kita di dunia dan akhirat.
اللهم آميــــــــــــن..ثبتنا الله وإياكم على الحق
وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين

No comments:

Post a Comment