Ust. Qamarullah Wahba
SEMPENA MUKTAMAR DPPKS KALI KE 9
PENDAHULUAN
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله الذي بعث محمدا صلى الله عليه وسلم بالهدى ودين الحق رحمة للعالمين وقدوة للعاملين وحجة على من أرسله الله إليهم أجمعين وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له إله الأولين والآخرين وأشهد أن محمدا عبده ورسوله المصطفى على العالمين صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين وسلم تسليما كثيرا
أما بعد
Kepada sahabat-sahabat Muktamirin sekalian, saya mengucapkan tahniah atas kehadiran untuk bermuktamar pada hari ini dan merafakkan syukur kerana setelah berlalunya pusingan tahun yang yang pelbagai musimnya, kita dapat lagi bertemu pada hari ini untuk melaksanakan satu kerja Jama’ah yang amat penting iaitu bermuktamar. Muktamar adalah medan kita menela’ah kelemahan dan kekuatan Jama’ah serta menyampaikan imput penambahbaikan untuknya di masa depan. Ia juga medan kita melantik pemimpin yang bakal menerajui jema’ah. Agenda muhasabah dan melantik pemimpin ini, jika kita lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar, ia menjadi ibadah. Bukankah melaksanakan perintah Allah itu ibadah? Dan Allah SWT memerintahkan kita dengan firmannya:
وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.
Surah As-Syura: Ayat 38
Sebelum saya meneruskan ucapan saya, saya ingin menambatnya dengan dua kesimpulan. Hanya dua kesimpulan ini yang sahabat muktamirin perlu ingat dari selengkar ucapan saya ini. Dua kesimpulan itu ialah:
a. Wajib mengintima’kan diri dengan gerakan Islam.
b. Tarbiyyah akan memperkuatkan Jamaah.
INTIMA’ KEPADA GERAKAN
Menggabungkan diri dalam Jama’atul Muslimin merupakan salah satu dari tuntutan penting dalam agama Islam. Terdapat banyak dalil Al-Quran maupun hadis yang menyokong kesimpulan ini. Ianya tidak perlu lagi dijelaskan khususnya kepada mereka yang telah meladeni jalan perjuangan. Dari segi logik akal pun, manusia berhajat kepada hidup berjama’ah untuk mencapai matlamat bersama yang digariskan. Maka, satu kerja besar seperti menyebarkan Islam dan meletakkannya sebagai agama tertinggi di atas semuanya, tentulah memerlukan penggabungan individu –individunya dalam sebuah jama’ah.
Penggabungan diri (intima’) kepada jama’ah membawa maksud seseorang itu mestilah menyerahkan dan mengorbankan seluruh tenaga dan kemampuannya sebagai khidmat kepada jamaah, menyerahkan segala kepentingan dirinya untuk kepentingan Islam dan bukan sebaliknya. Penyerahan ini dibuat berdasarkan akidah dan bukan kerana factor-faktor lain seperti tertarik kepada individu tertentu, bencikan musuh dan sebagainya.
Memetik apa yang disebutkan oleh Ketua DPPP, Ust Nasrudin bin Hassan at Tantawi dalam Ijtimak Tarbawi Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di PLD Kundasang pada 4-6 Februari yang lalu, bahawa penggabungan kita ke dalam gerakan Islam hendaklah didasari kepada intima’ aqidi. Sambil menolak intima’-intima’ yang lain seperti intima’ maslahi, syakhsi, hamasi dan lain-lainnya, hendaklah dimengerti oleh setiap ahli gerakan bahawa dorongan akidahlah yang menyebabkan kita memilih penggabungan ini.
Kita berada dalam PAS bukan kerana inginkan kedudukan, kuasa dan projek yang mengkayakan diri. Malah, kita berhabis harta, masa dan keselesaan kerana keberadaan kita dalam PAS. Kita bangga kerana dapat memberikan infaq harta dan masa untuk perjuangan dan tidak disia-siakan kepada kehidupan dunia yang tidak membawa kepada akhirat. Kita juga berada dalam PAS bukan kerana kita seorang pengkagum TG. Nik Abd Azizi Nik Mat, TG. Hj. Hadi Awang atau mana-mana tokoh lain. Sekalipun mereka yang kita kagumi citra perjuangannya itu telah dijemput Tuhan dan tiada lagi di persada perjuangan ini, kita tetap mahu berada dalam perjuangan ini. Kita tidak mengkultuskan seorang pemimpin sebagaimana pengikut Komunisme mengkultuskan Lenin, pengikut Nazi mengkultuskan Hitler dan mana para pengikut Nasionalisme mengkultuskan pejuang bangsanya sepanjang zaman.
Kita terlibat dengan jama’ah dan kerja-kerjanya adalah untuk mencari redha Allah dengan memperjuangkan agamanya. Kita berkeyakinan bahawa hidup berjuang adalah mulia. Kita, tidak sanggup hidup hina tanpa perjuangan bahkan rela mati syahid demi agama dan perjuangannya
Kerana cintakan kepada perjuangan, kita memilih untuk berada dalam gerakan Islam. Kita memilih PAS kerana ia adalah gerakan Islam yang pertama muncul dalam arena perjuangan Islam secara tersusun dalam sejarah negara kita. Memilih PAS bukan hanya dengan mendaftar jadi ahli dan memberitahu semua orang bahawa “aku adalah ahli PAS”. Bukan juga dengan menjadi “addicted” kepada ceramah-ceramah tokohnya atau hanya mengundi calonnya dalam pilihanraya.
Kita tidak harus muncul sekali sekala saat semangat menguasai kepala dan akhirnya mundur dan hilang di kala semangat menyusut ke hujung kaki.
PAS ITU GERAKAN ISLAM, BUKAN PARTI.
Sebilangan mereka yang menyertai PAS nampak PAS itu hanya sebagai parti politik. Tanggapan ini pula menjadi pegangan kepada mereka yang di luar PAS. Mereka yang memusuhi PAS pula lebih kuat menanggapi hal ini. Kalaulah mereka faham dan sedar bahawa PAS itu adalah sebuah Gerakan Islam yang mempusakai perjuangan “as-sabiqunal awwalun”, tentu mereka tidak tega untuk menentang PAS.
Nabi-nabi dan para hawariyyun mereka tentu mempunyai penerus perjuangan. Masakan kita boleh mendakwa parti-parti sekular yang ada, baik dalam negara kita maupun seantero dunia, dan diterajui oleh mereka yang mengaku muslim, sebagai penerus perjuangan nabi-nabi dan pejuang sesudahnya? Masakan pula kita boleh mendakwa bahawa firqah-firqah yang hanya memperjuangkan beberapa juzuk daripada Islam serta tidak mensasarkan penubuhan daulah dan dunia Islam itu sebagai warisan perjuangan nabi-nabi dan para pejuang sesudahnya?
Kita ingin kita tergolong dari kelompok yang menjadi mata rantai kepada “As-Sabiqunal awwalun”. Allah memuji mereka sebagaimana firmanNya:
وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.
(Surah At-Taubah: Ayat 100)
PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, perlu jelas sejelasnya, terutama buat para pemuda perjuangan. Kita sedang menggalas perjuangan ini untuk menapak ke era kemenangan. Hendaknya, prinsip bahawa PAS merupakan Gerakan Islam hendaklah sentiasa meniti di bibir kita menjadi tazkirah buat kita di saat kita alpa. Tindak tanduk dan bual bicara kita hendaklah sentiasa diingatkan dengan prinsip yang seringkali dialpakan ini. Andainya, PAS bukan sebuah Gerakan Islam, tidak ada gunanya kita berhemPAS pulas dan mengorbankan harta, masa dan keselamatan diri untuknya. Perjuangan sebuah parti hanya demi kepentingan yang berkisar di bawah lengkungan langit. Malah tidak pun melePASi atmosfera bumi. Ia mungkin demi seorang tokoh atau kelompok tertentu. Perjuangan Gerakan Islam menembusi tujuh petala langit dan bersimpuh di sidratul muntaha sujud kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Pertegaskan untuk dirimu dan orang lain bahawa inilah perjuangan PAS. Di sebalik lebel nama parti padanya, terpacak gunung mengakar Gerakan Islam. Mengalir segar sungai Gerakan Islam bersumberkan legeh perjuangan As-Sabiqunal awwalun.
APA YANG ANDA LAKUKAN DENGAN HARI ANDA TANPA JAMA’AH?
Apa yang kita lakukan untuk mengisi masa kita kalau kita tidak hidup berjama’ah. Cukupkah untuk menjadi modal di depan Allah dengan hanya solat, berzikir dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam hidup. Kita memetik buah dari agama Islam untuk merebut kebahagian akhirat sedangkan kita tidak pernah membajai pokok Islam ini dengan perjuangan. Islam menyeru anak-anaknya untuk mempertahankannya dan mengangkat harakatnya dalam masyarakat, sedang kita memilih untuk menyisih dalam khulwah yang sunyi lengang. Khulwah nafsiyyah malah Jasadiyyah dari perjuangan dan agendanya.
Apakah hebat kalau kita menjadi seorang yang disibukkan dengan jadual harian ketat? Manakan jadual tugas kerjaya, ditambahkan pula jadual aktiviti permainan kesukanan yang sarat. Lalu, tiada masa untuk perjuangan.Pada belahan hari kita, kita gunakan untuk melaksanakan tuntutan kerjaya. Belahan yang lain pula untuk aktiviti bersama teman-teman.kita penuh dengan pelbagai acara sukan, dari futsal, badminton, bola sepak, boling sehingga mengunjungi gymnasium membina tubuh kekar. Itulah yang mungkin menjadi rutin kita jika hidup tanpa jama’ah. Namun, ke mana hendak digunakan tubuh kekar itu? Apakah hanya buat menggoda pesona orang lain. Hina amat kalau digunakan buat memancing pesona wanita. Untung dan maha berkat sekujur tubuh yang sihat hasil dari aktiviti yang kita lalui, kalau digunakan untuk berjuang dalam jama’ah.
Mungkin, kita tidak mahu menyertai Jama’ah kerana mahu mengarang buku yang hebat. Kononnya, buku yang merubah masyarakat dengan suntikannya. Hebatnya buku bukan pada isinya. Isi yang canggih dan penysunan yang kemas dan menelan masa yang banyak tidak menjadikan ia berguna kepada masyarakat. Kalau kerana sibu dengan proses pengarangan, suntingan dan editing buku itu kita tidak mahu menyertai jamaah, ketahuilah bahawa buku akan hadir ke tengan masyarakat hanya laksana kilasan kilat yang tidak mampu memberi hidayah secuit pun kepada ummat.
Mungkin juga, kita disibukkan dengan hobi blogging. Blog kita berada pada ranking teratas dan mampu mengumpulkan pulangan beribu RM daripada agensi pengiklanan antarabangsa. Tapi, apalah ertinya sebuah blog jika tidak menjadi agenda mengangkat Islam. Malah, malang sekali jika blogger menjadi penentang Gerakan Islam.
Mungkin juga banyak masa kita terbuang di kedai kopi. Tanpa komitmen untuk Jama’ah, kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan perbualan kosong dengan sahabat-sahabat makir yang kita rasa setia.
Mungkin pantang cuti kita berjalan melancung sana sini. Lekeh pula kalau malam-malam dan hujung minggu hanya duduk bergelempangan depan TV mencari rancangan ASTRO yang menarik.
Kita dalam gerombolan Pemuda PAS menawarkan pilihan untuk lakuna yang membelenggu ini. Kita menawarkan jalan menggunakan masa dan harta yang dapat membenihkan buah akhirat yang meyakinkan. Khabarkan dan tawarkan buat rakan-rakan lihai kita agar kita sama-sama dapat meladangi dunia untuk akhirat dengan perjuangan lalu meyakini hasilnya.
HIDUP BUKAN UNTUK DIRI SEMATA!
Tujuan kita dihidupkan di dunia ini bukan untuk menjadi seperti ternakan yang meragut rumput untuk melangsaikan tuntutan perut dan mencari Pasangan untuk melunaskan tuntutan biologi. Bukan juga untuk maksud duniawi yang di sisi Allah nilainya lebih ringan daripada sayap nyamuk. Untuk menjadi abdi kepada Allah, itulah tujuan asal kita diciptakan.
Sesuai dengan tujuan mengabadikan diri kepada Allah SWT, maka hidup memperjuangnkan agamaNYa adalah kehidupan unggul yang ideal perlu kita cari. Itulah kemuncak pengabadian kepadaNYa.
Bagaimanakah kita menjawab persoalan di depan Allah SWT ketika kita ditanya di akhirat tentang apa yang telah kita lakukan semasa hidup kita? Alangkah malunya kalau kita hanya mampu menjawab bahawa semasa hidupku di dunia aku telah dapat pangkat sekian, dan sejumlah isteri atau anak. Semua pencapaian itu tidak akan dihitung oleh Allah sebagai kunci keselamatan di akhirat.
Apabila kita mengistiharkan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, ketahuilah bahawa tarbiah merupakan hatinya. Tarbiah ibarat generator yang membekalkan sumber tenaga untuk sebuah perkampungan.Tarbiah ibarat baja yang menyuburkan dan ibarat racun serangga yang membasmi perosak.
MAKNA TARBIAH
Perkataan tarbiah dalam bahasa Melayu bermakna: pendidikan, pengasuhan . ‘Tarbiah’ diambil daripada bahasa Arab(تربية) berasal daripada kalimah(رَبَّى) d yang membawa maksud mendidik dan menambahkan kekuatannya jasmani, akal dan akhlak.
Sesetengah ulama haraki merumuskan tarbiah kepada bahagian-bahagian berikut:
*Tarbiyah Ruhiyyah/Nafsiyyah (Pendidikan Kerohanian/Kejiwaan)
*Tarbiyah Jasmiyyah (Pendidikan Fizikal)
*Tarbiyah Imaniyyah ( Pendidikan Keimanan)
*Tarbiyah Aqliyyah (Pendidikan Mental)
*Tarbiyah Akhlaqiyyah (Pendidikan Akhlak)
*Tarbiyah Fikriyyah (Pendidikan Ketajaman Cara Berfikir)
*Tarbiyah Iqtisadiyyah (Pendidikan Kemantapan Ekonomi)
*Tarbiyah Siasiyyah ( Pendidikan Memperkasa Politik) dan lain-lain.
Di antara semua bahagian-bahagian tarbiah ini, tarbiyyah Ruhiyyah adalah mendepani semuanya. Ia merupakan tarbiah kepada jiwa dan hati. Hati merupakan raja dalam tubuh, jika baik ia, baiklah semuanya.
MEKANISMA TARBIAH
Kita seharusnya berkeyakinan sepenuhnya bahawa tarbiah adalah satu-satunya wasilah yang paling berkesan untuk merubah masyarakat, melahirkan rijal serta seterusnya mencapai kejayaan dalam perjuangan dan memperkasakan jema’ah. Bukankah melalui tarbiahlah Rasuluilah SAW berjaya membentuk generasi rabbani sebagai contoh yang sukar ditandingi?
Di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, kita cuba sedaya upaya untuk menhayati makna di sebalik kepentingan tarbiyyah ini. Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan pada sesi yang lalu telah merancang pelbagai program tarbiyyah dan sebahagiannya dapat dilaksanakan dengan baik dan jaya. Sesuai dengan keutamaan Tarbiyyah Ruhiyyah, Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan telah merancang program yang berbentuk pembentukan hati yang sejahtera agar dengan hati yang sejahtera ini, akan lahirlah pendokong perjuangan yang ampuh di medan perjuangan.
Menjadi tanggungjawab kita sebagai pemuda untuk memberi sokongan dan menyertainya. Usrah sebagai induk program tarbiyyah kita hendaklah dihadiri dengan penuh rasa cinta dan tanggungjawab. Janganlah kerana alasan-alasan gampang kita meninggalkan usrah. Selain itu, Tamrin juga merupakan program “patern” Gerakan Islam. Qiamullail pula hendaklah menjadi budaya hidup kita. Amat memalukan pula jika kita liat untuk solat berjama’ah di masjid sedangkan kita mengaku pejuang Islam.
Justeru, agenda tarbiyyah kita adalah untuk melahirkan individu-individu pejuang yang berstamina tinggi buat menggalas kerja besar yang amat melelahkan. Saya menyeru kepada sahabat sepejuangan untuk melapangkan dada dan menyerahkan hati dan perasaan kepada agenda tarbiyyah jama’ah.
Yakinilah bahawa bila berjaya tarbiyyah dalam jama’ah, PAS akan kaya dengan mujahid yang tidak mudah diperkotak-katikkan. Ombak dan badai tidak akan dapat merebahkannya, apalagi dengan ugutan hilangnya peluang naik pangkat atau perpindahan serta merta. Kita telah melihat sebilangan sahabat seperjuangan kita yang ampuh menghadapi ancaman dan ugutan sedemikian, dan kita ingin sekali jadi seperti mereka. Tetapi bagaimana? Tarbiyyahlah jawapannya!
JAMAAH TANPA TARBIAH?
Apakah mungkin dikatakan seseorang itu berjama’ah tanpa tarbiah? Mereka yang menjadi tentera-tentera syaitan pun menyediakan masa-masa dan mekanisme tertentu untuk membina motivasi diri mereka, maka apakah tentera-tentera Allah tidak merasakan perlu mereka mempunyai hal yang boleh memantapkan diri dan perjuangannya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal untuk mengatakan diri berjama’ah tanpa mahu melalui proses tarbiah.
Dalam PAS, jika yang terjun ke dalamnya itu adalah mereka yang hanya membawa citra politik yang berkaitan dengan kepartian dan pilihanraya semata-mata, mereka tidak akan melihat perlunya agenda tarbiahnya. Ini merupakan ancaman dalaman kepada PAS untuk jangka panjang. Kelak, akan jadilah PAS sebagaimana parti-parti lain yang membawa isme-isme tersendiri. Tidak mustahil, tanpa tarbiah, PAS akan menjadi parti yang memperjuangkan islamisme dan bukannya memperjuangkan Islam sebagai ad-din yang diturunkan Allah SWT.
Tarbiyyah, sebagaimana yang ditegaskan oleh Ketua DPP Pusat, perlu dilalui oleh semua warga Gerakan Islam, dari yang teratas hinggalah ke bawah. Tak kira siapa pun dia, jika mengaku anggota Gerakan Islam PAS, hendaklah meladeni agenda tarbiah Jama’ah.
Marilah kita menghayati keperihatinan pemuda-pemuda dalam Gerakan ini yang berhempas pulas menggerakkan agenda tarbiyyah. Sesungguhnya, inilah rupa Jamaah yang kita rindui. Jamaah yang menjadikan tabiyyah sebagai makanan hariannya.
Kitalah soldadu yang memikul amanah menjana tarbiyyah dalam Jamaah. Kita soldadu dan kita juga perlu ditarbiyyah. Jamaah kita adalah Jamaah Gerakan Islam. Maka, jangan sekali-kali mengabaikan aspek tarbiahnya. Dengannya, Jamaah mendapat nafas dan menjadi perkasa.
KESIMPULAN.
Sekianlah, mudahan selepas muktamar ini selesai dan kita kembali bercempera dengan tugas harian masing-masing, kita akan sentiasa sedar anugerah Tuhan yang Allah kurniakan kepada kita. Anugerah yang tidak diperolehi semua orang. Itulah anugerah menjadi pilar-pilar Jamaah PAS di Sandakan. Maka, kita pun menghargainya dan istiqamah di dalamnya. Dengan rasa syukur dan tawaddhuk, kita mencari lapangan tarbiah buat menjana kekuatan diri.
Saya berdoa agar kita diberikan thabat dalam perjuangan ini sehingga ke akhir hayat. Tiada maknanya perjuangan yang bersemangat pada permulaan dan mundur di belakang hari. Allah tidak melihat kepada permulaan, tetapi khatimahlah yang akan menuntukan sama ada kita bahagia atau sebaliknya.
أللهم يا مقلب القلوب ..... ثبتنا
No comments:
Post a Comment