KALENDER DPPKS

Saturday, July 6, 2013

HIBRAH TARGHIBAH



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Segala puji itu hanya bagi Allah SWT, Tuhan penguasa sekelian alam. Dialah pemilik kerajaan langit dan bumi. Dialah pemilik setiap episod zaman. Dialah penentu segala takdir dan Dialah pemberi hidayah buat sesiapa yang dikehendakinya. Tidak ada satu kebaikan melainkan yang disifatkan baik olehNya. Semua yang dinyatakan sebagai buruk, maka buruklah ia walau seluruh manusia mengatakan baik. Hanya Dialah tempat kita berserah dan Dialah juga tujuan hidup dan lengkaran perjuangan kita. 


Sesungguhnya, kita amat bersyukur kerana dengan kekayaan dan rahmat Allah, dunia tidak pernah ketandusan orang-orang yang berjuang membela jalanNya. Allah sentiasa memberi buah fikiran dan jalan buat para pejuangnya untuk membantunya meninggikan kedudukan gama Allah di muka dunia. Jika lahir para pemuda yang menyerahkan jiwanya menjadi soldadu syaitan, maka lahir juga para pemuda yang mewaqafkan jiwanya menjadi Jundullah. Dua jalan terbentang dan siapa yang benar pilihannya, keberuntungan menanti di hari muka. Salah menentukan pilihan, hanya menawar manis seketika tetapi derita kelak datang bertimpa-timpa.


Pendidikan merupakan agenda penting dalam hidup. Rasulullah SAW sangat memperingatkan ibu bapa agar mengambil berat soal pendidikan. Jika anak dibesarkan tanpa dicanai dengan pendidikan yang baik, bukan sahaja anak itu menjadi rosak, ibu bapa juga akan teresak-esak kelak menanggung sesal. Sesal di belakang hari, dalam dunia dan sesudah mati. Atas kesedaran itulah, Dewan Pemuda Pas sebagai sebuah cabang keluaga besar Harakah Islam diberikan amanah menjana pendidikan seawal usia kana-kanak . Untuk itu, PASTI telah ditubuhkan sebagai sebuah entiti pendidikan pra-sekolah untuk memberi pilihan kepada ibu bapa mendidik anak-anak mereka pada takah-takah yang disarankan Rasulullah SAW. Inilah kerja yang digerakan semata-mata demi kepentingan ummat agar lahir generasi bertakwa dan jauh sekali daripada hasrat mengaut keuntungan.


Para pemerhati perkembangan PASTI akan pasti bahawa penggerak PASTI adalah para pemuda pemudi yang ikhlas dan tidak mengaut loba dan pamrih. Dalam dunia yang serba berbayar, Dewan Pemuda Pas dapat berbangga dengan segunung syukur atas kesediaan jundinya menawar khidmat tanpa bayaran. Mereka inilah kelibat-kelibat terlindung yang berjiwa kental dan insya Allah menjadi bunga harum syurgawi dalam dunia dan akhirat.


Akhir sekali, sekalung tahniah buat ibu bapa yang memilih PASTI untuk menjadi medan pendidikan anak-anak. Tetapkan niat anda untuk melihat anak lahir sebagai insan bertakwa kepada Allah SWT. Insya Allah, manisnya buah mengikut benih yang ditanam dan semaian yang menjadi pilihan. Pasukan yang ikhlas pula akan menambahkan berkat dalam mencanai generasi. 


Hari ini Sukaneka PASTI kali yang ke-24 kita raikan. Jadikan ia medan ukhwah kelaurga PASTI, saling sokong menyokonglah untuk menjayakan hasrat murni, segala kekurangan kita cari jalan penambahbaikan, berlapang dada menambah bahagia dan cintailah orang-orang yang berjuang demi agama Allah. Semoga Allah mencintai kita sebagai gantinya.


اللهم اثبنا وارحمنا برحمتك يا ارحم الراحمين


Sekian Wassalam

UST QAMARULLAH WAHBA
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan
Sessi 2011-2013